Semasa pergerakan pasaran yang meruap (turun naik), adalah sukar bagi sesetengah pelabur untuk mengawal emosi mereka. Ketika pasaran melonjak kukuh, naluri sekawan kita mendorong kita menyertai orang ramai bagi melabur dalam pasaran saham. Tetapi apabila pasaran mengalami pembetulan, kita cepat menjadi cemas dan menjual pelaburan kita. Namun, tindakan paling bijak yang perlu pelabur lakukan dalam waktu sedemikian ialah terus bertenang dan mengekalkan pendekatan yang berfokus untuk pelaburan mereka. Mempunyai portfolio pelaburan yang dilaburkan dalam pelbagai kelas aset yang berlainan merupakan strategi yang bijak dan berkesan untuk mengharungi tempoh pergerakan pasaran yang merosot.
Pasaran saham memang bersifat meruap di mana tempoh kenaikan harga saham yang berlanjutan selalunya boleh terhenti oleh pembetulan yang mendadak. Dalam waktu sebegitu, pelabur dengan profil risiko yang sederhana hendaklah mempertimbangkan untuk memegang dana seimbang atau “balance fund” yang dilaburkan dalam ekuiti dan bon yang mempunyai perkadaran yang hampir sama. Dana seimbang bertmatlamat untuk menyediakan pendapatan dan pertumbuhan modal dalam tempoh sederhana hingga panjang dengan mengguna pakai pendekatan peruntukan aset yang seimbang, iaitu 40 peratus hingga 60 peratus daripada Nilai Aset Bersih (NAB) dilaburkan dalam ekuiti manakala bakinya dilaburkan dalam sekuriti hutang dan aset cair. Sebagai perbandingan, dana ekuiti lazimnya mempunyai peruntukan aset sebanyak 85 peratus atau lebih dalam ekuiti dan bakinya dalam sekuriti pendapatan tetap dan aset cair.
Faedah utama melabur dalam dana seimbang ialah:
1. Pulangan yang Lebih Stabil: Risiko portfolio keseluruhan bagi dana seimbang lebih rendah kerana pulangan bagi pelaburan ekuiti dan bon lazimnya tidak berhubung kait secara positif.
Pulangan yang berpotensi tinggi tetapi lebih meruap daripada pelaburan ekuiti disederhanakan oleh pelaburan dana dalam bon. Ekoran itu, pulangan dana seimbang akan kurang meruap berbanding dengan dana ekuiti konvensional.
2. Pengimbangan Semula: Satu lagi manfaat dana seimbang ialah semasa pasaran melonjak, dana ini ‘secara automatik’ mengimbang semula portfolio dengan mengambil keuntungan daripada pelaburan ekuiti yang mengalami peningkatan nilai dan mengimbangkan portfolio tersebut kepada peruntukan aset asal ekuiti: bon, iaitu 60:40.
Hasil daripada proses pengimbangan ini, pelabur unit amanah tidak perlu bimbang tentang bila mahu mengambil untung ke atas pelaburan mereka.
3. Pertumbuhan Modal: Dana seimbang akan membolehkan pelabur menyertai dalam pertumbuhan modal jangka panjang pasaran ekuiti kerana sebahagian besar dana, iaitu sehingga 60 peratus nilai dana dilaburkan dalam ekuiti.
Sebagai kesimpulannya, dana seimbang adalah sesuai untuk pelabur-pelabur berjangka sederhana hingga panjang yang berprofil konservatif hingga sederhana dalam menerima risiko dan ganjaran serta ingin menerima pendapatan dan peningkatan modal yang munasabah.
Melabur dalam dana seimbang menolong pelabur unit amanah berfokus kepada mencapai matlamat pelaburan jangka panjang mereka tanpa memerlukan mereka menilai kitaran pasaran semasa.
Apabila mereka memilih dana seimbang yang diuruskan dengan baik sejajar dengan profil risiko dan objektif pelaburan mereka,mereka boleh yakin bahawa pengurus-pengurus dana akan mengambil langkah yang perlu untuk selalu mengimbangkan semula dana.
Rencana ini disumbangkan oleh Public Mutual Bhd., syarikat unit amanah swasta yang terbesar di Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan