Rabu, 13 April 2011

Bilakah Waktu yang Terbaik Membeli Unit Amanah?


Dalam unit amanah, sebenarnya tiada garis-panduan yang tetap dan tepat mengenai waktu yang terbaik untuk membeli unit (samada membeli untuk tabung/fund baru atau membeli untuk menambah unit yang sedia ada). Ini kerana harga unit sentiasa naik-turun (fluctuates) mengikut keadaan ekonomi semasa, pasaran saham dan perubahan dalam nilai unit tabung itu sendiri.
Untuk memudahkan penjelasan, sila lihat graf berikut.
Waktu Membeli Unit Amanah
Waktu Membeli Unit Amanah

Membeli Ketika Harga Stabil.

Membeli unit ketika harga unit tidak berubah (atau hanya perubahan kecil) dari point A ke point B memberikan pelabur rasa tenang dengan kestabilan harga unit. Namun begitu, untuk jangka masa pendek, pelabur hanya menikmati sedikit saja keuntungan dari segi kenaikan modal jika ingin menjual balik unit-unit yang telah dibeli.

Membeli Ketika Harga Menaik.

Membeli unit ketika pasaran sedang naik (dari point B ke point C) menjadi favourite ramai pelabur kerana mereka boleh mendapat pulangan tunai dengan cepat dari pelaburan mereka, iaitu membeli ketika point B dan menjual ketika hampir dengan point C. Tetapi perlu di ingat, mereka akan kerugian dari segi bilangan unit jika lambat untuk membeli. Jika pelabur hanya sempat membeli unit ketika harga hampir dengan point C, sudah tentu unit yang diperolehi kurang jika dibanding dengan membeli unit ketika point B. Bertambah teruk lagi jika silap timing iaitu membeli ketika harga unit sudah di puncaknya (peak) di point C.

Membeli Ketika Harga Menurun.

Membeli unit ketika pasaran sedang menurun (dari point C ke point D) juga menjadi favourite ramai. Ini kerana, semakin hampir dengan point D, semakin banyaklah unit yang akan diperolehi oleh pelabur. Dan dengan unit yang banyak ini, untuk jangka masa panjang, semakin banyaklah jumlah unit diperolehi bila ada dividen yang dilabur semula atau jika ada unit split.

Kesimpulan.

Membeli ketika harga paling rendah dan menjual ketika harga paling tinggi adalah teori asas dalam pelaburan. Namun, tiada siapa dapat meramalnya. Pasaran saham mungkin jatuh lebih rendah daripada rekod yang pernah dicatat dan mungkin mencatat rekod tertinggi baru. Jadi, realitinya tiada waktu terbaik untuk membeli unit. Pelabur boleh membeli unit bila-bila masa. Namun begitu dalam pelaburan unit amanah, pelabur hendaklah tahu asas-asas strategi yang boleh diambil (samada untuk membeli atau untuk menjual unit) apabila harga unit tidak banyak bergerak, harga mula bergerak naik ataupun ketika harga mula menurun supaya dapat memaksimumkan keuntungan. Pelaburan tetap secara berkala juga sering dikatakan cara terbaik melabur dalam unit amanah kerana pelabur dapat membuat pemurataan kos (cost averaging).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan