Sabtu, 5 Mac 2011

SEDIAKAH ANDA UNTUK BERSARA AWAL

Sediakah Anda Untuk Bersara Awal?


Untuk menikmati ‘gaji selepas bersara’ RM2,000 sebulan selama 20 tahun, anda perlu ada tabungan berjumlah RM480,000 semasa bersara!


Kewajipan mengejar ilmu sudah seharusnya menjadi budaya setiap individu muslim dengan turunnya firman Allah s.w.t. melalui ayat pertama “Iqra” – “Bacalah ….”


Menjadikan setiap mukmin itu ‘bebas kewangan’ atau mencapai tahap mukmin al-qauriy (mukmin yang kuat). Meniti penghujung usia untuk mencapai matlamat husnul khatimah adalah impian setiap mukmin. Dalam menempuh alam persaraan, apakah ilmu yang harus dimiliki supaya matlamat yang diimpikan tercapai?


Umur bersara tidak seharusnya 55 atau 60 tahun, seperti lazimnya, tetapi ianya boleh lebih awal seandainya anda merancang terlebih dahulu. Saya pernah terbaca tentang seorang yang telah pun bersara pada usia 40 tahun sebab beliau telah pun selesa dari segi kedudukan kewangannya… telah mencapai status ‘bebas kewangan’ atau financial freedom. Jadi, jika umur anda baru 25 tahun, anda juga boleh mulai merancang untuk bersara dan bersiap sedia dengan perancangan kewangan anda.


Bayangkan, untuk menikmati ‘gaji selepas bersara’ berjumlah RM2,000 sebulan selama 20 tahun, anda perlu ada tabungan yang berjumlah RM480,000 semasa anda bersara. Jika anda bersara pada umur 55 tahun, pastikan tabung persaraan anda berjumlah RM480,000, baru anda boleh menikmati ‘pencen’ RM2,000 sebulan sehingga anda berumur 75 tahun . Ini adalah perkiraan yang boleh mengejutkan kita dari tidur lena …dengan anggapan yang tabungan kita di KWSP akan mencukupi keperluan saraan kelak. Nampaknya… tak cukup.


Alhamdulillah kita dipaksa menyimpan melalui skim KWSP yang rata- rata kita menabung 20% dari gaji bulanan setiap bulan. Bayangkan kalau tak dipaksa simpan… agak-agak adakah kita akan simpan atas dorongan sendiri? Hmmm, besar kemungkinan tidak, kan? Beberapa perkara perlu difikirkan apabila merancang untuk bersara:


1) Situasi kewangan apabila anda mencecah umur bersara, bagaimana? Pastikan di mana akan anda terima punca pendapatan.

2) Bagaimana keadaan hutang anda? Semua sudah dijelaskan? Jika tidak, berapa lagi?

3) Bagaimana pula dengan kos saraan, kos perubatan?

4) Adakah anak-anak masih di sekolah nanti?

5) Sudahkah anda jalani ibadah haji?


Setelah menelaah semua perkara di atas, harus dicatat situasi kewangan anda sewaktu bersara kelak. Apabila sesuatu dicatat, barulah nampak apa implikasinya dan bagaimana anda harus bertindak seterusnya. Sekarang, jika tabungan di KWSP hanya RM30,000, anda boleh kira ke depan berapakah jumlah ini akan meningkat apabila anda bersara kelak.


Apabila sudah dikira, bolehlah anda lihat berapa jumlah yang anda harus tabungkan untuk mencapai matlamat kewangan semasa bersara kelak setelah kos saraan juga dikenal pasti.


Potfolio tabungan boleh dibahagi kepada tabungan di bank, saham amanah dan polisi takaful. Carilah ejen yang berpengetahuan dalam ilmu perancangan kewangan Islam dan insya-Allah anda akan diberi panduan bagaimana menstrukturkan potfolio untuk merancang persaraan yang tenang.


Jadi kesimpulannya, mulakanlah tabungan persaraan anda seawal yang mungkin. Walaupun jika anda baru mulai bekerja, sediakan tabungan ‘pencen’ anda sendiri.


Satu lagi perkiraan, jika anda mahukan gaji RM3,500 sebulan sewaktu pencen nanti selama 20 tahun, pastikan anda punyai tabungan persaraan berjumlah RM840,000…


Selamat merancang untuk bersara.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan