Dengan bangkitnya pasaran saham yang bergolak dalam beberapa bulan terakhir ini,
para pelabur unit amanah mungkin tertarik sama ada untuk menjual atau membeli.
Namun, para pelabur dinasihatkan supaya tetap tenang dan mempraktikkan
pemurataan kos ringgit sebagai matlamat jangka panjang mereka.
Apabila pasaran serantau dan global mengalami jualan panik pada bulan Ogos 2007
dan baru-baru ini pada bulan Januari 2008, tahap keparahan dan ketajaman
pembetulan cukup besar untuk membuatkan para pelabur unit amanah bertanya pada
diri sendiri sama ada mereka harus menebus sekarang untuk mengelakkan kerugian
lagi atau membeli lebih banyak unit dengan harga yang rendah pada ketika ini.
Bahkan, jika mereka mempraktikkan pemurataan kos ringgit, mereka tidak perlu
bimbang dengan isu-isu seperti ini.
Pemurataan kos ringgit membolehkan para pelabur membeli lebih unit apabila harga jatuh dan membeli kurang unit ketika harga naik.
Semasa ketaktentuan pasaran terutamanya, para pelabur individu harus kekal fokus
pada matlamat pelaburan jangka panjang dan mengelakkan emosi mereka
mempengaruhi keputusan pelaburan mereka. Pendekatan yang berdisiplin dan
pelaburan sistematik adalah kunci kejayaan pelaburan jangka panjang.
Para pelabur unit amanah adalah dinasihatkan untuk membeli dan memegang
pelaburan mereka bagi jangka sederhana hingga panjang. Prinsip beli-dan-pegang
adalah berdasarkan kepada konsep bahawa pelaburan yang baik akan menghasilkan
pulangan yang menarik bagi jangka sederhana hingga panjang. Ini juga bermaksud,
para pelabur boleh membezakan di antara pergerakan harian dalam pasaran dan nilai
jangka panjang yang mendasari pelaburan mereka. Pengurus dana profesional
membeli dan memegang untuk jangka masa sederhana hingga panjang kerana mereka
bersedia untuk menunggu dengan sabar selama beberapa tahun agar pelaburan mereka
mencapai nilai intrinsik atau wajar. Bagi pelabur unit amanah, strategi “beli-danpegang” juga boleh dilaksanakan dengan berpegang pada dana unit amanah yang
terpilih selama sekurang-kurangnya tiga tahun.
Terdapat sesetengah pelabur yang percaya bahawa mereka boleh mencapai pulangan
yang menakjubkan dengan menetapkan masa belian dan penebusan dana-dana ekuiti
bagi mendapat keuntungan daripada pergerakan pasaran saham jangka pendek. Para
pelabur tersebut tertarik untuk menetapkan masa pasaran terutamanya dalam
persekitaran di mana pasaran ekuiti tidak menentu. Para pelabur yang ingin membuat
keuntungan cepat di pasaran saham dengan bertukar dari satu dana ke satu dana lain
akan sering mengalami kekecewaan. Strategi menetapkan masa yang sering
disarankan oleh „pakar pelaburan‟ jarang berhasil. Ini adalah kerana pasaran saham
memang tidak menentu dan tidak mungkin untuk diramalkan atas faktor-faktor
domestik dan asing, yang mempengaruhi turun naik harga saham harian dan
mingguan.
Para pelabur yang ingin mengambil pendekatan yang lebih aktif untuk pelaburan
mereka dengan menetapkan masa pasaran akan terdedah kepada banyak risiko. Untuk
mendapatkan keuntungan dari aliran pasaran jangka pendek, para pelabur tersebut
perlu meramalkan aliran pasaran dan titik perubahan dengan tepat.Tanpa kemahiran yang sesuai untuk membezakan isyarat dan masa kemasukan dan
keluar, penentuan masa pasaran mungkin tidak hanya mengakibatkan kehilangan
peluang, tetapi juga berpotensi mengalami kerugian dengan cepat. Juga dengan
frekuensi penukaran dana yang lebih tinggi, para pelabur perlu menanggung kos
transaksi yang meningkat.
Para pelabur yang bimbang tentang ketaktentuan pasaran adalah dinasihatkan untuk
mempraktikkan pemurataan kos ringgit kerana strategi ini membolehkan pelabur
memfokuskan pada matlamat pelaburan jangka panjang dan tidak bimbang dengan
tahap semasa pasaran. Pemurataan kos ringgit ialah hanya melabur satu jumlah wang
yang tetap dalam satu aset kewangan (seperti dana unit amanah) pada tempoh waktu
tetap (bulanan, suku tahunan, dua kali setahun) tanpa mengambil kira kitaran pasaran.
Dengan melabur satu jumlah yang tetap pada tempoh waktu tetap, para pelabur boleh
membeli lebih unit apabila pasaran lebih rendah dan kurang unit ketika pasaran
menaik. Strategi ini akan menghasilkan kos purata pelaburan yang lebih rendah
daripada purata harga pasaran pada tempoh tertentu.
Selain itu, para pelabur juga dinasihatkan untuk mengimbangi portfolio mereka secara
tetap sekurang-kurangnya sekali setahun untuk memastikan peruntukan portfolio
mereka mencerminkan objektif pelaburan dan profil risiko mereka. Jika harga saham
menaik, pendedahan ekuiti pelabur meningkat melebihi tahap yang konsisten dengan
toleransi risiko, dia boleh mengurangkan sebahagian dari dana ekuiti dan bertukar
kepada dana bon atau pasaran wang untuk menyeimbangkan peruntukan aset yang
sesuai. Mengekalkan sasaran peruntukan aset dapat mengurangkan risiko portfolio
daripada menjadi terlalu tertumpu pada satu kelas aset tunggal.
Kesimpulannya, para pelabur unit amanah harus selalu memfokuskan untuk mencapai
matlamat pelaburan jangka masa sederhana hingga panjang mereka. Amalan
pemurataan kos ringgit dan mengimbangi portfolio secara tetap adalah cara yang
berkesan untuk membantu pelabur tetap fokus pada jangka masa panjang dan
mengelakkan mereka dari bertindak melulu terhadap pergerakan jangka pendek
pasaran saham.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan