Khamis, 12 Januari 2012

MENGELAKKAN KESILAPAN BIASA DALAM MELABUR

 
Semua orang tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Sebagai pelabur, kita 
perlu belajar daripada kesilapan pelaburan kita dengan mengenali kesilapan itu dan 
membuat penyesuaian yang sewajarnya kepada disiplin pelaburan kita.   

Ramai orang melabur tanpa mempelajari secukupnya tentang proses pelaburan atau 
produk-produk pelaburan yang berlainan dan tanpa mempertimbangkan apa yang mereka 
mahu mencapai sebenarnya dalam jangka  panjang. Pelabur semacam ini selalunya 
bertindak balas negatif kepada kemeruapan jangka pendek pasaran, mendengar nasihat 
mereka yang mendakwa diri mereka pakar, memasuki pasaran pada masa yang tidak sesuai 
dan akhirnya menanggung kerugian yang bertimbun.    

Berikut adalah di antara kesilapan biasa yang dibuat oleh pelabur yang boleh menjejaskan 
prestasi portfolio mereka: 

1.  Tidak menyediakan dana kecemasan sebelum melabur 
Melabur tanpa sebarang peruntukan dana  kecemasan umpama berakit tanpa jaket 
keselamatan. Sebelum  memasuki pasaran, pelabur dinasihatkan supaya memperuntukkan 
sekurang-kurangnya tiga hingga enam bulan  perbelanjaan sebagai persediaan bagi 
menghadapi kecemasan kewangan (seperti kehilangan pekerjaan) atau masalah aliran tunai 
yang tidak diduga. Tujuan utama penampan tunai ini ialah untuk memberikan kestabilan 
fiskal dan emosi semasa dilanda kemelutan ekonomi peribadi.  

2.  Pemasaan pasaran 
Walaupun pasaran mungkin bergerak secara kitaran, namun ini tidak bermakna kita boleh 
menentukan bila kita hendak masuk dan keluar dari pasaran pada paras terendah dan paras 
tertingginya masing-masing. Pelabur yang berpengalaman dan berjaya seperti Warren 
Buffett tidak menggunakan kaedah pemasaan pasaran kerana kaedah  ini selalunya tidak 
berkesan. Oleh itu, pelabur individu akan dapat mengelak daripada menanggung kerugian 
besar jika mereka tidak mencuba memasakan pasaran. Bahkan, memandangkan 
pengalaman mereka yang terhad dalam memahami pasaran kewangan, pelabur individu 
lebih baik memfokus kepada melabur dalam unit amanah untuk jangka panjang.   

3.  Berlengah-lengah 
Pelabur tidak harus menangguh apabila melabur kerana permulaan awal boleh membawa 
banyak perbezaan dalam pulangan yang berpotensi diraih kerana tempoh masa yang lebih 
panjang membolehkan pulangan berganda atas feadah berfungsi dengan efektif. Sementara 
itu, lebih lama anda tunggu untuk memulakan  pelaburan anda, lebih banyak wang yang 
perlu anda laburkan untuk mendapatkan pulangan yang sama dengan orang yang mula 
melabur lebih awal.  

 4.  Mengambil terlalu banyak risiko atau terlalu sedikit 
Oleh sebab risiko dan pulangan adalah seiring, maka tahap risiko yang anda ambil semasa 
melabur boleh menentukan pulangan yang mungkin diterima. Namun begitu, ada orang 
yang mengambil terlalu banyak risiko dan ada pula yang terlalu sedikit. Pelabur yang 
mengambil risiko tinggi pada akhirnya menjadi spekulator dan sering melabur tanpa 
membuat penyelidikan terlebih dahulu. Pelabur yang terlalu konservatif pula mungkin 
menanggung risiko di mana inflasi menyusutkan kuasa beli mereka. Daripada semata-mata 
bergantung pada toleransi risiko anda untuk menentukan pelaburan anda, anda haruslah 
juga mengambil kira matlamat kewangan dan jangka masa pelaburan anda. 

5.  Kurang pempelbagaian 
Pempelbagaian adalah antara prinsip melabur yang paling asas ke arah portfolio pelaburan 
yang berkembang dan mantap. Namun begitu,  ramai pelabur cuai dan gagal mengikuti 
langkah ini sepenuhnya, sebaliknya mereka meletakkan semua telur (pelaburan) mereka ke 
dalam satu bakul (aset). Portfolio yang berpelbagai akan mematuhi semua komponen 
peruntukan aset – mengambil kira toleransi risiko, modal pelaburan yang sedia ada, jangka 
masa pelaburan dan perwajaran kelas aset portfolio semasa.   
                         
6.  Menjadi terlalu mengikut perasaan dalam membuat keputusan pelaburan 
Kebanyakan pelabur membenarkan emosi – terutamanya perasaan tamak dan takut – 
mendorong keputusan pelaburan mereka. Misalnya, pelabur yang terlalu mengikut 
perasaan akan terdorong untuk menjual pelaburan apabila harganya jatuh. Akibat terlalu 
mengikut perasaan dan gerak hati mereka, ramai pelabur yang menjual pada harga rendah 
dan membeli pada harga tinggi di pasaran.  Mereka sepatutnya menilai secara objektif 
sebab kejatuhan harga itu dan melihat sama ada ia disebabkan oleh keadaan pasaran yang 
lebih meluas.  

7.  Kurang penyelidikan 
Pelabur haruslah membuat penyelidikan  sebelum melabur. Pelaburan yang berjaya 
memerlukan masa dan usaha yang berterusan, termasuk melakukan penyelidikan pelaburan 
sendiri. Pelabur harus ingat bahawa prestasi sebuah pelaburan dahulu tidak semestinya 
memberi panduan untuk prestasi masa hadapan. 
  
8.  Panik semasa pasaran jatuh 
Apabila pasaran jatuh teruk, biasanya pelabur akan dikuasai oleh emosi mereka dan 
menyebabkan mereka menjual pelaburan mereka secara panik. Pelabur yang memegang 
pelaburan untuk jangka panjang tidak akan dipengaruhi oleh putaran pasaran saham ini. 
Sebaliknya, mereka mungkin melihat kelemahan pasaran sebagai peluang untuk membeli 
saham mewah di bawah nilai sebenarnya pada harga yang menarik.  Semua orang melakukan kesilapan dalam pelaburan mereka tetapi apa yang membezakan 
pemenang daripada orang yang kalah adalah mereka menggunakan apa yang mereka 
pelajari daripada kesilapan mereka. Kunci  kejayaan dalam pelaburan bukanlah mengelak 
daripada risiko sama sekali tetapi mengenali risiko yang diambil. Bagi mengelakkan 
kejutan yang kurang menyenangkan, buat penyelidikan anda. Tiada apa yang setanding 
dengan membaca prospektus dan menyemak  prestasi jangka panjang pelaburan. 
Sepertimana pengurus dana Amerika, Ronald  W. Roge, pernah berkata: “Orang meluru 
membeli meskipun mereka tidak faham apa  yang mereka beli. Orang membuat lebih 
banyak penyelidikan semasa mereka membeli peti ais atau perakam kamera video daripada 
semasa mereka melabur beribu-ribu dalam pasaran.”  
------------------------------------------------------------------------------------------------------------- 
Jutawan Pun Buat Kesilapan (dan Belajar daripada Kesilapan itu) 
Benjamin Graham muflis sebanyak tiga kali  sebagai pelabur. Tetapi setiap kali beliau 
muflis, beliau mendokumentasikan dan mengkaji kegagalannya, dan beliau akhirnya dapat 
menyampaikan kebijaksanaan pelaburan ini  kepada ramai orang lain, termasuk Warren 
Buffett, yang kemudiannya pula belajar daripada kesilapan dan kegagalannya sendiri. 
Pada awal kerjaya Buffett, beliau tersilap  percaya bahawa beliau boleh menyelamatkan 
kilang tekstil yang hampir lingkup. Setelah terpaksa membubarkan operasi tekstilnya, 
Buffett belajar membayar untuk kualiti. Beliau mengubah syarikat yang hampir lingkup itu 
kepada perniagaan bernilai AS$140 bilion. 
Satu lagi contoh yang hebat ialah John Lasseter, dari syarikat  Pixar. Selepas tamat 
pengajian dari kolej, Disney mengambilnya bekerja sebagai kapten tunggangan Jungle 
Cruise di Disneyland. Kemudian, syarikat itu memberinya peluang bekerja sebagai 
juruanimasi, dan beliau segera menyedari kemampuan teknologi komputer baru untuk 
merevolusikan animasi.  
Namun begitu, Disney sangat  tidak tertarik dengan filemnya yang pertama sehinggakan 
beliau dibuang kerja serta-merta. Jadi, beliau terpaksa berusahakannya semula. Selepas 
memperhalusi proses-prosesnya, beliau menyertai sebuah syarikat yang kemudiannya 
dikenali sebagai Pixar, di mana beliau memenangi dua Anugerah Akademi dan 
menerbitkan beberapa buah filem hit ‘blockbuster’ termasuk Toy Story, A Bug’s Life, dan 
Cars. Ironiknya, beliau dan rakan kongsinya Steve Jobs kemudiannya menjual Pixar 
kepada Disney dengan harga AS$7.4 bilion (RM25.1 bilion). 
Pengajaran daripada kisah ini: sentiasa belajar daripada kesilapan anda. 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan